SEJARAH SEKOLAH
Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua, Sandakan berasal dari Oversea Chinese Secondary School Sandakan dan mula ditubuhkan pada tahun 1938 oleh 2 orang adik beradik iaitu Encik Lo Hai Ming dan Encik Lo Hai Keo dengan bantuan sekumpulan masyarakat Cina yang bergiat dalam lapangan Pendidikan Cina. Guru Besar ketika itu ialah Encik Lo Hai Ming dengan kakitangan sekolah yang berjumlah 5 orang dan pelajar seramai 30 orang sahaja. Tapak asal sekolah terletak di dalam bangunan Sam Sen Kong Persatuan Kwong Tong. Semua perbelanjaan adalah daripada bantuan masyarakat Cina ketika itu.
Pada tahun 1940, jumlah murid semakin bertambah menyebabkan perbelanjaan yang agak besar diperlukan. Semenjak itu, Persatuan Peniaga-peniaga Tiong Hua di bawah pimpinan Encik Kwan Lok Ming bersama ahli-ahli jawatankuasanya telah mengambil alih pentadbiran dan menukarkan namanya kepada Sandakan Chinese Secondary School.
Menjelang tahun 1941, bilangan pelajar mencapai 100 orang dan tiga buah kelas telah dibuka dengan tenaga pengajar seramai 8 orang. Di akhir tahun 1941, Perang Dunia Kedua telah meletus dan askar-askar Jepun telah menyerang Sandakan mengakibatkan sekolah yang ada terpaksa ditutup.
Pada tahun 1955, Datuk Khoo Siak Chiew yang dipilih sebagai Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Tiong Hua Sandakan telah mencadangkan supaya Sandakan Chinese Secondary School dibuka semula memandangkan ramai pelajar dari Sandakan yang terpaksa melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah di Sekolah Menengah Tinggi Kota Kinabalu dan Chinese Secondary School di Tenom. Beliau telah membentuk sebuah jawatankuasa pada 14 Oktober 1955 untuk merancang penubuhan sekolah ini lagi.
Dalam tahun 1956, Encik Chong Chee Sun telah dipilih menjadi Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Tiong Hua Sandakan dan sekolah ini telah berjaya didaftarkan semula pada 22 Februari 1956. Pada mulanya sekolah ini meminjam sebuah bilik darjah daripada Sekolah Menengah St. Michael dan Encik Ho Yu Lin telah dilantik menjadi pengetua pada masa itu.
Encik Ho telah meletakkan jawatan atas sebab peribadi pada tahun 1957 dan tempat beliau telah digantikan oleh Encik Lee Kui Thau. Pada masa yang sama, pihak Persatuan Peniaga-peniaga Tiong Hua telah berjaya mendapatkan bekas tapak rumah orang-orang tua seluas 7 ekar sebagai tapak sekolah dan di tapak inilah terletaknya Sekolah Menengah Tiong Hua yang ada sekarang.
Datuk Khoo Siak Chiew telah terpilih sebagai Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah pada tahun 1958. Hasil usaha beliau, iaitu bilik darjah, makmal, dewan dan rumah guru telah dibina. Menjelang 1959, sekolah ini telah mempunyai 7 buah bilik darjah dan bilangan pelajar mencapai 280 orang. Mulai 1961, Sekolah Menengah Tiong Hua menjadi sekolah bantuan kerajaan. Semua gaji guru dan pekerja sekolah serta pentadbiran dibayar oleh pihak kerajaan.
Pada tahun 1961, Encik Lee Kui Thau telah meletak jawatan dan pihak Lembaga Pengurusan Sekolah telah melantik Encik Chong Kui Yuen dari Taiwan menjadi pengetua sekolah ini. Dari tahun 1965 hingga 1968, keputusan Junior 3 dan Senior 3 telah menempatkan sekolah ini di tempat pertama di seluruh Sabah. Pada tahun 1970, dasar pendidikan sekolah menengah berubah yang mana bahasa pengantar telah ditukar daripada bahasa Cina kepada bahasa Inggeris.
Pihak Jabatan Pendidikan telah menghantar Encik Chia Su Fui menjadi pengetua sekolah ini pada tahun 1973. Tempat beliau telah digantikan oleh Encik Chin Yun Chung pada tahun 1976. Antara usaha beliau ialah menghantar guru-guru kurang fasih berbahasa Malaysia ke Kolej Perguruan Kent untuk mengikuti kursus Bahasa Malaysia memandangkan dasar pelajaran Kebangsaan telah mengubah bahasa pengantara kepada bahasa Malaysia.
Sekolah ini telah diterajui oleh 7 orang pengetua lagi pada tahun-tahun berikutnya ialah Encik Andrew Vu (1982-1987), Puan Girlie Tan Suan Sim (1987-1989), Encik Lee Tain Siong (1989-1997), Puan Chee Chai Jin (1998-Oktober 2006), Puan Teo Poo Siang (November 2006 hingga April 2008), Encik Leong Kwok Cheong (April 2008-Mac 2009) dan Cik Huang Lee Yung (Mac 2009 hingga sekarang). Pentadbiran yang bersilih ganti membuahkan pelbagai perubahan baik dari segi pengurusan, pentadbiran mahupun fizikal.